Stress merupakan perkataan
pinjaman yang berasal daripada perkataan bahasa Inggeris, “stress” yang membawa maksud tekanan,
titik berat, dan ketegangan. Kamus Oxford pula mendefinisikan stress sebagai satu tekanan atau
desakan, usaha, tuntutan ke atas keupayaan fizikal atau mental. Ini bermaksud
stress adalah suatu keadaan dimana kekuatan fizikal, mental dan emosi seseorang
individu teruji melampaui keupayaan tubuh dan mindanya yang tidak mampu menahan
dan menanggungnya lagi. Menurut Statt (1981), stress ialah ketegangan fizikal dan psikologi yang
berpanjangan untuk suatu masa yang boleh menggugat keupayaan seseorang untuk
mengendali suatu situasi. Hans Selye (1963), telah memberikan maksud yang berbeza mengenai stress
dengan membuktikan di dalam kajiannya terhadap binatang. Beliau menunjukkan
bahawa stress boleh menyebabkan penyakit, seterusnya penyakit yang dihidapi
akibat daripada stress yang berlebihan boleh membawa maut. Daripada kajian beliau
juga mendapati stress juga boleh berlaku ke atas manusia. Secara keseluruhannya stress
adalah ketidakupayaan memenuhi tuntutan persekitaran, gangguan fungsi
kehidupan, perubahan dinamik yang menyebabkan individu berdepan dengan masalah,
kekangan dan desakan hidup,
peristiwa
atau keadaan persekitaran yang mendatangkan akibat yang negatif, tekanan yang
mengakibatkan kebimbingan, keletihan dan ketegangan kepada individu serta tindak
balas luaran yang mengganggu mental dan fizikal atau tindak balas kimia dalam
tubuh.
Stress, seperti yang diterangkan
sebelum ini boleh berlaku kepada semua guru, sama ada guru sekolah rendah,
menengah atau peringkat pengajian tinggi. Punca stress di kalangan guru boleh
dibahagikan kepada dua kategori, iaitu punca profesional dan punca peribadi. Pelbagai definisi telah
cuba diberikan oleh beberapa orang untuk menghuraikan makna stress. Schafer
(1992) mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang
dalam bertindak balas kepada permintaan terhadap dirinya. Fontana (1989) pula
memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan
penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan
seseorang itu dapat menangani permintaan itu maka tekanan itu akan mendatangkan
kesan yang positif. Selain itu, stress adalah istilah yang merangkumi tekanan,
bebanan, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, kemurungan
dan hilang daya.
Persekitaran
kerja yang kurang kondusif boleh menjadi punca berlakunya stress di kalangan
guru. Misalnya ruang kerja yang sempit dan kelas yang tidak selesa boleh
menimbulkan ketidakselesaan kepada guru. Ditambah dengan kemudahan sekolah yang
tidak mencukupi untuk keperluan sendiri dan murid serta pelbagai isu
pendidikan dalam negara. Perubahan peningkatan populasi
dalam masyarakat, peningkatan taraf hidup dan jenayah yang memberikan impak negatif
dalam tingkah laku murid menyebabkan seseorang guru itu harus melakukan
perubahan dalam kehidupan profesional dan peribadinya. Perubahan boleh
menyebabkan terganggunya sistem keseimbangan dalam diri seseorang individu itu.
Contohnya, banyak perubahan telah berlaku dalam mobiliti masyarakat Amerika
Syarikat pada hari ini. Antaranya, penambahan golongan etnik dalam pendidikan.
Murid dari golongan etnik ini kurang fasih atau tidak tahu langsung berbahasa
Inggeris. Oleh itu, hal ini memberikan tekanan kepada guru Bahasa Inggeris
untuk memenuhi kurikulum pendidikan. Punca peribadi diantaranya ialah keadaan
kesihatan guru yang terjejas akibat kemalangan atau berlaku kematian dalam
kalangan keluarga. Oleh sebab banyak perubahan dalam masyarakat pada hari ini,
misalnya peningkatan kadar jenayah, guru memerlukan sokongan dan hubungan yang
baik dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Apabila berlaku perselisihan faham
maka ini boleh menyebabkan stress terhadap guru tersebut. Gaji yang rendah
berbanding dengan profesion yang lain membataskan aktiviti riadah dan taraf
hidup seseorang guru. Gaji yang rendah juga menyebabkan sukar untuk guru
menikmati dan memberikan taraf hidup yang baik bagi keluarga mereka. Di samping
itu, memiliki rumah sendiri juga sukar terutamanya bagi guru yang baru
mengajar.
Aktiviti riadah pula ialah dari segi gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.
Aktiviti riadah pula ialah dari segi gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.
Gold dan Roth (1993) menyatakan bahawa salah satu punca
stress bagi guru adalah perubahan dalam dasar pendidikan yang membebankan
mereka (Zakiah Arshad, 2003). Sebagai pengurus pembelajaran, guru perlu
merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar setiap hari (Esah
Sulaiman, 2003). Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran
yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip
yuran, mengemaskinikan kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi,
menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan sebagainya bagi
memajukan muridnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stress yang
berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan
secara signifikan kerjaya guru dan prestasi muridnya kerana stress menjejaskan
kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Ini disebabkan oleh tugasan yang
diberi kian bertambah dan memberi kesan negatif ke atas guru yang mana didapati
hanya satu pertiga daripada guru yang berpuas hati dengan kerja mereka. Apabila
guru tidak berasa kepuasan dalam pekerjaan, ini akan mempengaruhi sistem
pendidikan yang mana guru-guru tidak bermotivasi, tidak komited dengan kerja
dan tidak profesional serta sekaligus memberi impak yang negatif dalam bidang
pendidikan.
Selain itu, faktor salah laku dan karenah murid juga
turut menyumbang terhadap stress guru. Tingkah laku murid di dalam kelas
seperti kurang menghormati guru, kurang penumpuan di dalam kelas, masalah
disiplin, kurang bermotivasi dan tidak menyiapkan kerja sekolah didapati telah
menyebabkan guru berasa tertekan setiap kali memasuki kelas (Fun, 2008; Kim,
2006; Tang dan Yeung, 1999; Montgomery dan Rupp, 2005). Akibat karenah murid,
guru sering keletihan dan tidak bersemangat untuk mengajar. Kesukaran yang
dihadapi oleh guru dalam berhadapan dengan pelbagai karenah murid telah
menyebabkan sebahagian guru mengalami tekanan perasaan (Wai dan Kwok, 1995).
Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor
seterusnya yang menjadi penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan
sumber merujuk kepada kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan
pembelajaran, keadaan bilik guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran
dan lain-lain. Kekangan masa pula ialah kekurangan masa guru-guru untuk
mengajar, menghabiskan sukatan pelajaran yang diajar dan masa rehat yang
singkat. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang kala memakan
masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar.Tambahan pula,
guru tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran bagi mata pelajaran
yang diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan
tugasan yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan menambahkan tekanan
kerja kepada guru tersebut. Di samping itu, kajian-kajian luar dan dalam negara
mendapati kekangan masa turut menyebabkan guru stress (Boyer, 2009; Chaplain,
1995; Ages, 2011; Tang & Yeung 1999; Kim, 2006; Fun, 2008). Kajian stress
oleh Huisman (2009), melaporkan bahawa kesemua responden percaya bahawa stress
yang dialami telah memberi impak negatif terhadap murid dan menyebabkan
pengajaran menjadi kurang efektif. Dapatan beliau turut mendapati tugas
perkeranian seperti mengambil kedatangan dan merekodkan gred murid telah
menyukarkan guru mengimbangkan dengan tugas mengajar. Seringkali guru mengalami
stress berpunca dari tugasan luar dari pengajaran (Sheppard, 2008), penyediaan
kertas kerja, menghadiri pelbagai mesyuarat (Center dan Steventon, 2001; JoIda
dan Brandon, 2003) dan tugas berkaitan pengurusan bilik darjah (Center dan
Steventon, 2001). Namun, tidak dapat dinafikan tugas utama guru yang perlu
dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab utama adalah menyediakan rancangan
mengajar, mengajar, menyediakan aktiviti berkaitan pengajaran dan pembelajaran
dan menanda buku (Rieg, Paquatte dan Chen, 2007).
Seterusnya, salah satu cara pengurusan stress ialah
melalui program pengurusan stress yang bersesuaian dan kos-efektif. Murphy
(1984), menjelaskan program pengurusan stress ialah kerja berkesan dalam
membantu pekerja mengurangkan stress kerja. Beliau menjelaskan kebaikan program
pengurusan stress ialah ia boleh dilaksanakan dan dinilai dengan segera tanpa
gangguan utama kerja-kerja syarikat atau jadual produksi. Di samping itu, ia
juga boleh diselitkan ke dalam program-program latihan yang sedia ada dan boleh
digunakan selari dengan perubahan di tempat kerja atau pengubahsuaian kerja.
Selain daripada itu, pendidikan stress dan latihan pengurusan stress boleh
berfungsi dalam membantu individu untuk mengenalpasti simptom stress dan kesan
yang dikaitkan dalam tahap stress. Pendidikan stress dan pengurusan stress
sangat berkesan dalam membantu individu berurusan dengan punca-punca stress
yang berkaitan dengan persekitaran kerja yang tidak boleh diubah atau yang
tiada kaitan dengan kerja. Menurut Hatta Sidi & Mohamed Hatta Shaharom
(2002), garis panduan untuk menguruskan stress adalah seperti menjaga diri
sendiri dan mempertingkatkan ketahanan fizikal, menenangkan jiwa dan jasad,
berdialog dengan diri sendiri, bertolak ansur dengan menerima ketidakpastian,
mengurangkan sesuatu yang tidak pasti, menjangkakan perubahan dan membina
keupayaan, ketawa dan jenaka, realistik terhadap kehendak dan kemahuan,
mengurangkan permintaan yang keterlaluan, berfikir secara positif, meminimumkan
perubahan, mengurus masa, memahami nilai diri dan personaliti sendiri,
menyelesaikan konflik, mengawal keadaan atau situasi, menyelesaikan perkara
yang belum selesai dan meningkatkan jaringan sokongan sosial.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula telah menyarankan
Kaedah 10B untuk individu yang sedang mengalami stress iaitu bertenang,
bernafas dengan dalam, berkata relaks/ tidak mengapa, beribadat, bercakap
dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan
berfikir positif (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2005). Selain itu, cara
mengatasi stress adalah dengan mengaturkan masa dengan teliti (Tuskan, 2002) dalam
buku karangannya Kaedah Mengatasi Gangguan Stres dan Emosi. Menurut Islam
mengatakan bahawa masa yang ada dalam kehidupan individu perlu diatur mengikut
kepentingan matlamat yang hendak dicapai dan dilakukan secara berfasa. Kehidupan
seharian sebagai seorang guru dan mungkin suri rumah tangga pastinya menuntut
perhatian yang perlu dibahagikan secara sistematik. Dalam merancang pelaksanaan
tugasan, guru perlulah bijak membahagikan masa 24 jam yang ada mengikut
kepentingan masing-masing. Contohnya antara soalan peperiksaan yang perlu
disiapkan dalam tempoh seminggu dengan memasukkan markah murid di dalam sistem
yang hanya tinggal 1 hari sebelum ditutup aplikasinya., guru perlulah
mengutamakan memasukkan markah murid di dalam sistem. Matlamat setiap tugasan
perlu diukur kepentingannya agar masa yang diagihkan menjadi lebih sistematik. Jadual
yang sistematik juga perlu dirangka sebagai rujukan untuk guru menyiapkan
tugasan satu persatu agar tidak ada yang tertinggal dan boleh menyebabkan guru
stress.
Bagi mengatasi masalah tersebut juga, Goleman
(1999) telah menyarankan empat faktor terhadap masalah stress. Faktor- faktor
tersebut ialah kesedaran kendiri
(self-awareness), pengawalan kendiri (self-regulation), motivasi kendiri
(self-motivation) dan kemahiran sosial (social skills). Faktor pertama iaitu
kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk mengetahui perasaan
mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan
panduan dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran
kendiri juga mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan
mereka mempunyai keyakinan diri yang utuh. Pengawalan kendiri (self-regulation)
dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar ianya memudahkan dan bukannya
mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru yang boleh mengawal diri
mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan sementara perasaan negatif
mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada tekanan emosi. Guru yang
mempunyai motivasi kendiri (self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri
dalam menggerak dan memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi
kendiri boleh membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan
bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri
yang tinggi sentiasa tabah apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan
kekecewaan yang tinggi. Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan
penyubur kemesraan dan keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang.
Individu yang mempunyai sifat ini boleh menyelami keperitan, kesusahan,
kekecewaan atau keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam
Corey, Corey & Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh
menunjukkan sifat tersebut akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain
terutama dalam proses membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya
dengan mudah memahami dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama
guru dengan adanya kemahiran tersebut.
Faktor terakhir yang dicadangkan oleh Goleman
(1999) ialah kemahiran bersosial (social skills). Beliau menyatakan bahawa
faktor kemahiran bersosial ini membolehkan seseorang mengurus pelbagai emosi
secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu mentafsir dengan tepat
situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir memujuk dan memimpin.
Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial yang berkesan juga mampu
menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan menyelesaikan konflik
bagi mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam bilik darjah. Selain itu hubungan
interpersonal yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah dengan
rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat
galakan daripada pentadbir atau guru besar. Guru juga telah dibebankan dengan
pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka,
umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemas kini kedatangan murid,
menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi
bimbingan dan pelbagai lagi bagi memajukan muridnya.
Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stress
yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan
secara signifikan kerjaya guru dan prestasi muridnya kerana stress menjejaskan
kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Keberkesanan sesuatu pendidikan
adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini iaitu guru-guru. Prestasi
guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk membantu anak bangsa
dalam memperolehi kejayaan.
Cara
mengendalikan stress di kalangan guru ialah mengenalpasti
reaksi emosional apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang
guru boleh menangani stress dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi,
seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan guru besar di sekolahnya. Guru
tersebut telah menangani stress dengan cara yang negatif, iaitu menengking guru
besar itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi dalam dirinya, guru
tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu ayahnya telah
menggunakan pendekatan yang sama oleh guru besar itu. Guru tersebut sedar
bahawa dia inginkan guru besar itu menghargai beliau. Guru tersebut telah
berhadapan dengan guru besar dan memberitahu perasaannya itu. Akhirnya,
hubungan mereka berjaya dipulihkan. Manakala yang kedua pula ialah komitmen sosial, apabila
berhadapan dengan stress, guru memerlukan sokongan daripada orang-orang di
sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial amatlah penting. Kehidupan fizikal pula ialah di mana stress
menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus
tahu teknik yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang
peperiksaan murid dan pertukaran pentadbiran di sekolah. Pengetahuan dalam
senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani stress. Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang
memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka kerana aspek intelek boleh
membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
Islam merupakan agama yang sempurna. Cara yang
terbaik dalam menangani stress ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah.
Hashim Anang (2009) menyatakan pendidikan dan pengamalan Islam yang sepenuhnya
akan membantu mengatasi masalah stress dikalangan guru. Seorang guru yang beragama
Islam seharusnya memainkan peranannya sebagai agen dakwah dengan melakukan
segala perintah di dalam agama Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran Islam
misalnya, amalan solat yang khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya
merupakan kaedah terbaik untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus
menangani segala masalah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun,
23: 1&2 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang
beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha” atau berjaya di sini
bukan sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di akhirat. Mereka yang
beroleh khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan ketenangan dalam
kehidupan dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut mengaitkan solat
dengan kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan. Abu Darda di dalam kitab
al-Asas fi Tafsir menyatakan bahawa khusyuk itu ialah pengagungan terhadap
Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan
sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari
syaitan. Faedah khusyuk ini akan membina jati diri seseorang muslim yang taat dan
soleh serta tenang malahan aman jiwanya dan yang ikhlas dalam tindak-tanduk
amalannya. Ketenangan jiwa merupakan penawar utama bagi masalah stress.
Berzikir juga merupakan amalan yang mampu
menenangkan jiwa dan menghilangkan stress. Dalam hal ini, Allah SWT memberi jaminan
bahawa mereka yang senantiasa mengingati-Nya akan beroleh ketenangan hati.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28 yang bermaksud, "(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia". Allah SWT juga berfirman dalam surah
al-Baqarah, 2:152 yang bermaksud; "Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku,
nescaya Aku akan mengingati kamu sekelian". Amalan membaca, mendengar dan
menghayati al-Quran juga mampu menjadi penenang kepada jiwa. Diriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran adalah penawar
kepada kesakitan minda". (Hadis riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga
pernah bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: Cintakan
nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca al-Quran". Jelas di sini berdasarkan
pencerahan beberapa amalan di atas, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam
menjaga kesihatan jiwa dan menangani stress. Mereka yang mengalami stress
khususnya di kalangan guru seharusnya berusaha mencapai solat yang khusyuk,
sentiasa berzikir dan menghayati isi kandungan al-Quran. Amalan-amalan ini
terbukti mampu menjadikan diri kita sihat zahir dan batin.
Profesion perguruan adalah profesion yang tidak
mempunyai pembahagian masa yang jelas antara masa bekerja dan masa tidak
bekerja. Keadaan sedemikian sememangnya mewujudkan stress kepada guru-guru. Profesion keguruan dan tugas
guru merupakan bidang yang kompleks dan mencabar. Guru bukan sahaja perlu
mengajar, malah perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan pentadbiran,
menjalankan aktiviti kokurikulum dan juga melibatkan diri secara aktif dalam
Persatuan Ibu-Bapa dan Guru. Disamping kerja-kerja yang dinyatakan, guru juga
perlu memastikan tanggungjawab utama iaitu berinteraksi dengan murid-murid
secara fizikal dan emosi semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung
dalam keadaan yang kondusif. Boleh dikatakan stres dapat dikawal dengan baik
oleh guru sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan
stres tersebut. Pengurusan stres amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi
memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran dalam
profesion keguruan dan dunia pendidikan yang mendatang. Hal ini seterusnya akan
membantu pemecutan kemajuan bidang pendidikan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan